Sunday, July 25, 2010

7 maut seminggu

NYAMUK Aedes penyebab penyakit denggi yang boleh membawa maut.
NYAMUK Aedes penyebab penyakit denggi yang boleh membawa maut.

Wabak demam denggi semakin mencemaskan

KUALA LUMPUR: Wabak demam denggi di negara ini semakin mencemaskan apabila mencatat tujuh kematian dalam tempoh seminggu lalu.
Jumlah itu menambah angka kematian kepada 91 kes bagi tujuh bulan tahun ini berbanding 88 kes sepanjang tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata jumlah kes denggi yang direkodkan sejak Januari lalu adalah 26,927 kes, melebihi jumlah yang dicatatkan sepanjang tempoh sama tahun lalu, iaitu 26,770 kes.

“Ini kali pertama pada tahun ini jumlah kes direkodkan melebihi tahun lalu. Dalam minggu ini saja, tujuh kematian dicatatkan berbanding satu atau dua kes seminggu sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Saintifik Pakar Pemakanan Malaysia di sini, semalam.

Liow berkata, beliau amat bimbang dengan situasi itu dan sudah mengarahkan semua hospital supaya memantau pesakit denggi serta memberikan rawatan terbaik kepada mereka.

Katanya, Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan Asean ke-10 di Singapura yang dihadirinya baru-baru ini, turut memperakui kes demam denggi meningkat mendadak di rantau ini dengan semua pihak perlu melaksanakan langkah pencegahan dengan lebih berkesan.
“Aktiviti gotong-royong di kawasan perumahan perlu dipertingkatkan bagi memerangi wabak ini. Saya juga mengarahkan pemantauan dan rawatan pesakit yang menghidap denggi diperketatkan di hospital dan pusat kesihatan seluruh negara bagi memastikan ia tidak terus merebak.

“Pihak berkuasa juga akan terus melakukan pemantauan ke premis bagi menghalang pembiakan nyamuk Aedes. Mereka yang didapati membiakkan nyamuk pula akan dikenakan kompaun,” katanya.

Katanya, Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan Asean juga memutuskan untuk menganjurkan ‘Hari Denggi Asean’ bagi mewujudkan kesedaran orang ramai berikutan peningkatan kes demam denggi di rantau ini.

“Kami akan menyambut hari berkenaan dan menyeru orang ramai lebih prihatin dengan demam denggi, selain meminta mereka lebih berhati-hati untuk mencegahnya,” katanya.

Bagaimanapun, belum ada tarikh ditetapkan untuk cadangan itu.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata, operasi pembersihan Hutan Lipur, Lubuk Yu, di Maran, Pahang diteruskan dan kawasan itu hanya dibuka semula apabila pihak kementerian berpuas hati dengan tahap kebersihannya.

“Ketika ini, kawasan itu akan terus ditutup bagi tujuan pemantauan yang dilakukan selama satu atau dua minggu lagi. Sampel air dan tanah di pusat perkelahan itu akan diuji sekali lagi sebelum kawasan terbabit dibuka semula.

“Ini bagi memastikan kawasan terbabit bebas daripada bakteria bahaya,” katanya.

INFO
# 26 kawasan panas di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan dan Sarawak.
# Majoriti kes membabitkan negeri yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.
# Selangor mempunyai 14 kawasan panas, 21 peratus daripadanya masih tidak bersih.
# Kompaun RM500 jika membiak Aedes.

FAKTA NOMBOR
91 - Maut sehingga Julai tahun ini.
88 - Kematian sepanjang tahun lalu.
26,927 - Kes denggi sehingga Julai tahun ini.

Ramadan musim paling ramai pasangan nikah di sempadan

PASANGAN dari Malaysia yang bermasalah untuk berkahwin, paling ramai bernikah di wilayah selatan Thailand ini adalah pada Ramadan, kata pegawai Islam di sini. Pasangan terbabit yang sudah terlanjur, tidak mendapat persetujuan ibu bapa untuk berkahwin dan perlu mengganti wali untuk melangsungkan pernikahan.

Setiausaha Agung Majlis Agama Islam Naratwhiwat, Mohd Sudi Wamee, mendedahkan fenomena ini bukan hanya membabitkan pasangan dari Malaysia, malah sejauh Myanmar, Brunei, Laos, India, Pakistan, Bangladesh dan China.
“Poligami bukanlah sebab utama pasangan berkenaan datang ke sini untuk bernikah. Punca utama ialah mereka terlanjur hingga wanita hamil dan ibu bapa tidak bersetuju mereka berkahwin. Bulan puasa paling ramai pasangan Malaysia yang bernikah di sini,” katanya kepada Berita Minggu.
“Purata tiga pasangan berkahwin sehari dan paling ramai sehingga lima atau enam pasangan,” katanya. Ramadan dijangka bermula kira-kira dua minggu lagi.

Beliau juga berkata, pasangan terbabit tidak segan silu mengaku terlanjur, manakala lelaki berpoligami turut mengesahkan tidak mendapat izin isteri pertama menyebabkan mereka membuat keputusan bernikah di sempadan.

“Kami mensyaratkan pasangan sedemikian memberi keterangan dalam borang daftar kahwin mengenai sebab mahu bernikah di sini dan mereka membuat pengakuan itu.
Wanita berstatus janda mesti tunjuk surat nikah, balu perlu bawa surat kematian suami, manakala anak dara wajib bersumpah atas nama Allah tidak pernah kahwin.
“Bagi wanita terlanjur, kami tidak ubah tarikh, walaupun dia sudah hamil lima bulan. Tarikh bernikah tetap pada hari itu,” katanya.
Ketika menjelaskan mengapa pegawai agama tetap membantu pernikahan pasangan bermasalah dari negara luar, Imam Besar Masjid Jumiah, Hussein Azam Tarip, berkata selagi cukup syarat, mereka akan menikahkan pasangan berkenaan.

“Kita tanya mengapa mereka datang berkahwin di sini dan mereka beritahu semuanya. Jika kita tidak nikahkan, apa akan jadi? Keterlanjuran akan lebih parah dan kita, yakni imam akan tanggung dosa yang mereka lakukan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Gabenor Narathiwat, Aziz Hussain, pula berkata, pihak berkuasa di sini dan Kelantan juga mempunyai kerjasama dari segi memantau perkahwinan. Pejabat agama di Narathiwat dan Kelantan memantau dan merekodkan, selain membuat keputusan benarkan perkahwinan.

“Kita benarkan saja perkahwinan itu, jika patut. Tak usah panjangkan masalah,” katanya.

Malaysia bida tuan rumah Formula Future dunia

  AHMAD Shabery  (dua dari kanan) menemui pasukan dari Wilayah Persekutuan, Putrajaya, pada kejohanan Formula Future, di Taman Botani, di Putrajaya, semalam sambil diperhatikan    Presiden Persatuan Sukan Bermotor Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee (kanan).
AHMAD Shabery (dua dari kanan) menemui pasukan dari Wilayah Persekutuan, Putrajaya, pada kejohanan Formula Future, di Taman Botani, di Putrajaya, semalam sambil diperhatikan Presiden Persatuan Sukan Bermotor Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee (kanan).
Jika berjaya Tasik Putrajaya bakal jadi lokasi kejohanan: Yahya

MALAYSIA akan membida sebagai tuan rumah Kejohanan Dunia Formula Future tahun depan selepas empat kali skuad muda negara bergelar juara dunia pada kejohanan bot laju itu.
Pengarah Urusan H2O Sports Sdn Bhd, Datuk Yahya A Jalil, berkata pihaknya sudah berbincang dengan Union Internationale Motonautique (UIM) mengenai hasrat Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia Formula Future 2011, selepas terpaksa menolaknya apabila wabak Influenza A (H1N1) melanda tahun lalu.
Namun, Yahya berkata, masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai peluang dipilih kerana Malaysia perlu bersaing hebat dengan beberapa negara lain termasuk Itali, England dan Portugal yang menunjukkan minat sama.

“Sepatutnya kita mahu menjadi tuan rumah pada kejohanan tahun ini tetapi kita belum bersedia. InsyaAllah, selepas Kejohanan Dunia Formula Future 2010 di England (bulan depan), kita akan terus melobi untuk tuan rumah tahun depan.

“Kita akan bida dulu... jika berjaya kita akan pilih Tasik Putrajaya di Taman Botani sebagai lokasi Kejohanan Dunia Formula Future 2011,” katanya selepas pelancaran Kejohanan Formula Future Kebangsaan 2010 yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sini, semalam.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak bagi mewujudkan lebih banyak kemudahan untuk membolehkan penggiat Formula Future berlatih dan mempopularkan ini di kalangan generasi muda di negara ini.

Sekolah khas untuk pelajar mengandung



SEKOLAH khas untuk pelajar mengandung dicadang bagi mengelak berulangnya kes seperti bayi perempuan dalam gambar ini yang ditemui di perhentian bas oleh orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru semalam.



MELAKA - Kerajaan negeri Melaka semalam mengemukakan cadangan menubuhkan sekolah khas untuk pelajar mengandung, sama ada mengandung hasil perkahwinan sah atau menerusi perhubungan luar nikah, bagi mengatasi gejala pembuangan bayi sekaligus menyelesaikan isu keciciran dalam pelajaran.
Jika menjadi kenyataan, sekolah itu akan menerima pelajar dari seluruh negara.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, cadangan penubuhan sekolah itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran untuk pertimbangan.
"Kami serius mengenai cadangan ini, jika kementerian tak setuju, kami sendiri akan mengusahakan penubuhannya,'' ujar beliau selepas merasmikan Sekolah Rendah Arab (SRA) Jabatan Agama Islam (JAIM) Batang Tiga Timur di sini semalam.
Mohd. Ali berpendapat adalah lebih baik remaja yang mengandung mempunyai saluran meneruskan persekolahan daripada berhenti dan seterusnya tercicir dalam pelajaran.
Beliau bagaimanapun tidak mahu cadangan itu disalah tafsir sebagai galakan untuk remaja berkahwin atau hamil anak luar nikah.
"Apa yang penting kita nak selesaikan masalah remaja berzina dan selepas itu mereka buang bayi,'' katanya.
Bagi membantu remaja yang masih bersekolah untuk berkahwin, beliau turut mengumumkan pemberian insentif RM500 kepada mereka untuk membantu urusan perkahwinan.
"Perkara ini telah dibincangkan bersama MAIM (Majlis Agama Islam Melaka) dan diluluskan pada mesyuarat Exco dua bulan lalu," katanya.

Sijil halal segera hotel

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mempercepatkan proses permohonan sijil halal di kalangan pengusaha hotel yang berbuat demikian sebelum bulan Ramadan bermula.



SAJIAN berbuka dari dapur halal dapat memberi keyakinan kepada pelanggan beragama Islam.



Langkah itu diambil selepas rekod Jakim sehingga semalam mendapati hanya 63 buah dapur di 32 hotel daripada 2,360 buah hotel di seluruh negara mempunyai Sijil Halal Malaysia.

Daripada 32 hotel itu pula, lapan daripadanya bertaraf lima bintang manakala sembilan bertaraf empat bintang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, langkah itu dibuat bagi menggalakkan lebih ramai pengusaha hotel di negara ini memohon sijil halal sama ada menerusi Jakim atau jabatan agama Islam negeri.

"Memandangkan bulan Ramadan akan tiba tidak lama lagi, pasti banyak majlis berbuka puasa akan diadakan di hotel-hotel. Jakim akan menyediakan pegawai khusus untuk memproses permohonan sijil halal itu tanpa pihak hotel perlu mengikut giliran," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sehubungan itu, Wan Mohamad berkata, Jakim bersama Perbadanan Pembangunan Industri Halal dan Persatuan Hotel Malaysia kini giat menganjurkan kursus kesedaran kepada para pengusaha hotel.

"Melalui kerjasama ini pengusaha hotel diharap akan memandang serius mengenai sijil halal itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Saimah Mukhtar memberi jaminan akan memproses semua permohonan sijil halal dalam tempoh kurang daripada dua minggu.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada jumlah permohonan yang diterima pada satu-satu masa selain permohonan perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

"Permohonan yang diterima awal akan segera diproses oleh pegawai yang bertanggungjawab menjalankan proses pengauditan dan jika dapur hotel itu mencapai piawaian yang ditetapkan, sijil halal akan terus dikeluarkan.

"Kita memang memberi keutamaan kepada permohonan yang dibuat oleh pengusaha hotel sejak dari dulu lagi sebab kita mahu mereka mempunyai pensijilan halal yang sah," ujarnya ketika dihubungi semalam.

Menurut Saimah, setakat semalam tidak ada permohonan yang menunggu giliran kerana semua permohonan sudah menjalani proses pemeriksaan dan sudah diaudit.

Saturday, July 24, 2010

Mayat bayi baru lahir ditemui dalam tong sampah

2010/07/24
KUALA LUMPUR: Mayat bayi perempuan baru lahir yang dibungkus dalam beg plastik ditemui bersama longgokan sampah di Flat Sri Kelantan, Bandar Baru Sentul di sini, malam tadi.

Mayat yang masih bertali pusat dan diselimut dengan kain batik itu ditemui dalam tong sampah pada jam 10 malam tadi oleh pengutip barangan lusuh ketika menggeledah tong sampah di flat itu.
"Ketika lelaki itu menggeledah tong sampah untuk mencari barang yang boleh dikitar semula, dia menemui satu bungkusan plastik yang berisi mayat bayi itu bersama urinya," kata Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan bayi itu dibuang dalam tempoh kurang dari empat jam sebelum mayatnya ditemui.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Anggota polis patah kaki dilanggar Mat Rempit

2010/07/24
JITRA: Seorang anggota polis patah kaki dan cedera di kepala dilanggar Mat Rempit dalam operasi mencegah perlumbaan motosikal haram di Taman Nilam di Sungai Petani kira-kira 2 pagi tadi.

Anggota polis itu, Lans Koperal Shahril Yusuf, 32, kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, dan keadaannya dilaporkan stabil.
"Polis telah mengenal pasti suspek dan masih memburunya kerana suspek menghilangkan diri dan tidak pulang ke rumah selepas kejadian itu," kata Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, polis segera mengadakan operasi dengan menghantar seorang pegawai dan empat anggota selepas mendapat maklumat daripada orang ramai tentang kegiatan merempit yang sering diadakan di kawasan perumahan itu. - BERNAMA

Taktik tipu wang internet tawar kerjaya di luar negara

2010/07/24
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diberi amaran awal mengenai satu lagi taktik penipuan wang melalui internet yang akan menular ke negara ini tidak lama lagi, membabitkan tawaran kerja menarik yang palsu di luar negara seperti Amerika Syarikat, negara Arab dan Eropah.

Melalui pendekatan baru itu, mangsa akan diperdaya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank yang didakwa sebagai bayaran bon jaminan diri untuk membiayai penajaan mereka apabila tiba di negara terbabit kelak.
Ancaman trend jenayah itu sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa ia mungkin menjerat golongan yang masih menganggur, termasuk graduan dan yang ingin memperbaiki taraf kehidupan dengan merebut peluang kerja menarik di luar negara.
Perkara ini didedahkan penganalisis jenayah terkenal, Kamal Affandi Hashim, yang mendapati kes penipuan sedemikian sudah menyerang warga di negara seperti Filipina dan China.

Beliau yang juga Ahli Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) yakin corak perangkap menggunakan faktor ekonomi melalui tarikan kerja palsu di luar negara, akan menular dalam masa terdekat seiring perubahan landskap jenayah siber yang tidak lagi terbatas kepada taktik penawaran barang atau perkhidmatan yang semakin disedari ramai.

“Antara peluang kerjaya palsu yang ditawarkan ialah kononnya di syarikat antarabangsa, pelantar minyak serta dalam sektor pembinaan, manakala mangsa pula dicari secara rawak melalui internet.

“Apabila mangsa terpedaya dan memasukkan wang untuk bon jaminan diri, mereka tidak lagi mendengar khabar daripada pihak yang berurusan itu,” katanya kepada Berita Harian.