Saturday, July 24, 2010

Taktik tipu wang internet tawar kerjaya di luar negara

2010/07/24
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diberi amaran awal mengenai satu lagi taktik penipuan wang melalui internet yang akan menular ke negara ini tidak lama lagi, membabitkan tawaran kerja menarik yang palsu di luar negara seperti Amerika Syarikat, negara Arab dan Eropah.

Melalui pendekatan baru itu, mangsa akan diperdaya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank yang didakwa sebagai bayaran bon jaminan diri untuk membiayai penajaan mereka apabila tiba di negara terbabit kelak.
Ancaman trend jenayah itu sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa ia mungkin menjerat golongan yang masih menganggur, termasuk graduan dan yang ingin memperbaiki taraf kehidupan dengan merebut peluang kerja menarik di luar negara.
Perkara ini didedahkan penganalisis jenayah terkenal, Kamal Affandi Hashim, yang mendapati kes penipuan sedemikian sudah menyerang warga di negara seperti Filipina dan China.

Beliau yang juga Ahli Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) yakin corak perangkap menggunakan faktor ekonomi melalui tarikan kerja palsu di luar negara, akan menular dalam masa terdekat seiring perubahan landskap jenayah siber yang tidak lagi terbatas kepada taktik penawaran barang atau perkhidmatan yang semakin disedari ramai.

“Antara peluang kerjaya palsu yang ditawarkan ialah kononnya di syarikat antarabangsa, pelantar minyak serta dalam sektor pembinaan, manakala mangsa pula dicari secara rawak melalui internet.

“Apabila mangsa terpedaya dan memasukkan wang untuk bon jaminan diri, mereka tidak lagi mendengar khabar daripada pihak yang berurusan itu,” katanya kepada Berita Harian.

No comments:

Post a Comment