Sunday, July 25, 2010

7 maut seminggu

NYAMUK Aedes penyebab penyakit denggi yang boleh membawa maut.
NYAMUK Aedes penyebab penyakit denggi yang boleh membawa maut.

Wabak demam denggi semakin mencemaskan

KUALA LUMPUR: Wabak demam denggi di negara ini semakin mencemaskan apabila mencatat tujuh kematian dalam tempoh seminggu lalu.
Jumlah itu menambah angka kematian kepada 91 kes bagi tujuh bulan tahun ini berbanding 88 kes sepanjang tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata jumlah kes denggi yang direkodkan sejak Januari lalu adalah 26,927 kes, melebihi jumlah yang dicatatkan sepanjang tempoh sama tahun lalu, iaitu 26,770 kes.

“Ini kali pertama pada tahun ini jumlah kes direkodkan melebihi tahun lalu. Dalam minggu ini saja, tujuh kematian dicatatkan berbanding satu atau dua kes seminggu sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Saintifik Pakar Pemakanan Malaysia di sini, semalam.

Liow berkata, beliau amat bimbang dengan situasi itu dan sudah mengarahkan semua hospital supaya memantau pesakit denggi serta memberikan rawatan terbaik kepada mereka.

Katanya, Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan Asean ke-10 di Singapura yang dihadirinya baru-baru ini, turut memperakui kes demam denggi meningkat mendadak di rantau ini dengan semua pihak perlu melaksanakan langkah pencegahan dengan lebih berkesan.
“Aktiviti gotong-royong di kawasan perumahan perlu dipertingkatkan bagi memerangi wabak ini. Saya juga mengarahkan pemantauan dan rawatan pesakit yang menghidap denggi diperketatkan di hospital dan pusat kesihatan seluruh negara bagi memastikan ia tidak terus merebak.

“Pihak berkuasa juga akan terus melakukan pemantauan ke premis bagi menghalang pembiakan nyamuk Aedes. Mereka yang didapati membiakkan nyamuk pula akan dikenakan kompaun,” katanya.

Katanya, Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan Asean juga memutuskan untuk menganjurkan ‘Hari Denggi Asean’ bagi mewujudkan kesedaran orang ramai berikutan peningkatan kes demam denggi di rantau ini.

“Kami akan menyambut hari berkenaan dan menyeru orang ramai lebih prihatin dengan demam denggi, selain meminta mereka lebih berhati-hati untuk mencegahnya,” katanya.

Bagaimanapun, belum ada tarikh ditetapkan untuk cadangan itu.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata, operasi pembersihan Hutan Lipur, Lubuk Yu, di Maran, Pahang diteruskan dan kawasan itu hanya dibuka semula apabila pihak kementerian berpuas hati dengan tahap kebersihannya.

“Ketika ini, kawasan itu akan terus ditutup bagi tujuan pemantauan yang dilakukan selama satu atau dua minggu lagi. Sampel air dan tanah di pusat perkelahan itu akan diuji sekali lagi sebelum kawasan terbabit dibuka semula.

“Ini bagi memastikan kawasan terbabit bebas daripada bakteria bahaya,” katanya.

INFO
# 26 kawasan panas di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan dan Sarawak.
# Majoriti kes membabitkan negeri yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.
# Selangor mempunyai 14 kawasan panas, 21 peratus daripadanya masih tidak bersih.
# Kompaun RM500 jika membiak Aedes.

FAKTA NOMBOR
91 - Maut sehingga Julai tahun ini.
88 - Kematian sepanjang tahun lalu.
26,927 - Kes denggi sehingga Julai tahun ini.

1 comment: